berani untuk merdeka

31 ogos datang lagi. Ya, merdeka. Setiap tahun pada hari yang sama kita akan diminta menggantung bendera jalur gemilang, menyanyi lagu negaraku untuk tunjukkan kita patriotik. Ada yang tanya, apa maksud merdeka? Saban tahun soalan yang sama. Apa erti merdeka dan bagaimana mengisi kemerdekaan ini (jika sudah merdeka?).
Dari segi bahasa, merdeka asal dari kata sanskrit mahardhikka, dari segi penggunaan, merdeka itu maksudnya bebas. Ramai dari kumpulan opposisi pemerintah mempersoalkan, merdekakah kita sebenarnya? Wajar saja soalan itu. Bebaskah kita sebenarnya? Banyak yang boleh dipertikaikan, apatah lagi bila merdeka atau bebas itu diletak dalam konteks peribadi dan individu.Dalam banyak2 cubaan untuk mendefinasikan merdeka ini, hujungnya erti merdeka itu tidak juga kelihatan.
Saya takkan menafsirkan erti kemerdekaan ini, takkan pula mencabarnya. Saya hanya akan cuba menghidupkan erti merdeka ini, cara yang saya percaya, dengan yakin diri, sebagai manusia bebas, sebagai warganegara.
Bila kita merdeka, saya kira wajar kita tidak bergantung dengan apa-apa kayu ukur yang diletak oleh orang lain; maksudnya kita tidak terikat dengan standard yang diletakkan oleh orang lain. Ini merdeka yang pertama. Ini menunjukkan yakin diri yang tinggi, kebolehan untuk kita tetapkan apa yang kita mahu capai; yang KITA mahu, bukan yang orang lain mahu kita capai.
Keduanya, kita perlu yakin untuk melihat semula kesalahan kita, untuk mengaku kesalahan kita. Ini merdeka yang tinggi bila kitalah yang menetapkan betul salah sesuatu perbuatan, malah berusaha melakukan sesuatu yang betul. Meniru itu tak salah kerana meniru adalah salah satu asas pembelajaran. Kita belajar meniru cakap ibubapa ketika kecil. Nabi Muhammad saw meniru kata-kata Iqra’ ketika diajar oleh Jibril as. Tapi kitalah yang pilih apa yang mahu ditiru. Itu penting. Bukan dipaksakan, tapi kita yang pilih.
Ketiga, yang paling penting sekali dalam mengisi kemerdekaan dan kebebasan ini, ialah keberanian untuk merdeka. Untuk punyai wawasan dan sikap berani mengaku salah sendiri. Keberanian ini yang tak ramai orang ada. Keberanian untuk berfikir lebih dari biasa, lebih jauh dan lebih luas. Dari perspektif biasa dan dari yang diajar. Kemudian untuk mempraktik dengan penuh berani.
Misalnya, adakah kita berani untuk mengakui yang bendera Jalur Gemilang itu ciplak dari bendera Amerika? Adakah kita cukup yakin dan berani untuk mengaku lagu negaraku itu ciplak dari lagu terang bulan atau mamula moon?
Atau adakah kita berani untuk mengaku yang komunis dan british, dua2 penjajah yang sama jahat? Atau kita masih dibawah telunjuk british dan telan bulat yang komunis itu raksaksa yang menghantui Malaysia? Adakah kita berani mempertikaikan keputusan pendiri negara ini dengan tunduk dengan desakkan british dan terima kemerdekaan tanah air dalam keadaan separuh masak?
Ini cabaran saya, cabaran untuk membuang kayu ukur yang telah ditetapkan british dulu, tentang kejahatan komunis. Maklum kita tahu yang british telah jadikan komunis sebagai musuh negara dengan label pelbagai, pengganas, anti Tuhan dan lain-lain.
Label dan tuduhan ini harus kita pertikaikan semula setelah kita merdeka, bukan untuk membersihkan nama komunis, sebaliknya melondeh susuk sebenar british. Yang mana benar, yang mana palsu. Ini penting untuk tahu mana salah kita dahulu, untuk meluruskan sejarah.
Kemudian datang ke tahap kedua yang mana kita menggali semula tokoh2 anti british yang selama ni hanya dilabel sebagai penentang, bukan wira. Sebelum ini kita cuba buka semula buku2 teks sejarah yang diajar disekolah, semua bercerita tentang mereka2 yang bangun kerana tak dapat pungut cukai; bukan kerana cintakan tanah air, bukan kerana benci penjajah, bukan kerana Jihad; tapi Cuma kerana british telah tutup pintu mereka dari mendapatkan wang. Wajarkah kita hormat orang2 seperti ini? Tidak! Itulah jawapan yang British mahu tanam dalam kepala kalian.
Tapi semua ini dalam menggali sejarah dan diri kita sebenar ini, kita perlukan keberanian. Keberanian untuk cari kebenaran, keberanian untuk mengaku salah dan keberanian inilah yang membuktikan adakah kita benar-benar merdeka.
Atau kita akan terus lena dan pilih untuk terima sejarah yang disuap penjajah kita dulu, dan adakah kita benar-benar merdeka jika begitu?

1 Responses to berani untuk merdeka

  1. Pembebel berkata:

    aku berani je. tapi, fakta terbaru kata kita tak dijajah kan? buat apa ada merdeka? kah kah kah

Tinggalkan komen