melayu pada pendapat saya dan raya

Melayu pada pendapat saya

Kalau tanya makcik-makcik atau budak kat kaki lima, tentang apa itu Melayu, pasti dengan pantas mereka menjawab, Melayu itu bangsa, kaum atau ras. Bangsa Melayu ini adalah mereka yang mendiami tanah Melayu, dalam bahasa modennya, kita sebut sebagai semenanjung Malaysia. Jawapan itu wajar saja.
Melayu, pada pendapat saya ialah nostalgik silam, itu saja. Tak pernah lebih dari itu walaupun akan ada orang akan debat dari segi sejarah, geopolitik, perlembagaan dan serba serbi. Hakikatnya, melayu ni cuma hantu silam. Tapi saya tak kata hantu silam ini sesuatu yang buruk.
Yang saya cuba katakan ialah, saki baki memori silam lah yang mengikat masyarakat Melayu kini. Baiklah, saya akan mula dengan sedikit pembuktian dan contoh untuk mengdekonstruksi idea popular tentang apa itu melayu pada zaman ini sebelum membuat penegasan tentang idea saya.
Mari kita lihat Melayu dari segi budaya, apa ada yang masih ada dalam tertib kehidupan melayu pada tahun 2011? Melayu ada silat, canggung, ulam-ulaman, wayang kulit, dan sawah bendang. Itu ikon-ikon mudah untuk menggambarkan kehidupan melayu tradisional, bukan? Berapa banyak dari ‘sifat’ Melayu yang saya senaraikan tadi, menjadi sendi kehidupan orang Melayu masa kini?
Berapa ramai anak-anak muda melayu berpencak silat; yang tahu solok lada itu, rasanya bukan pedas? Dan berapa ramai anak melayu sekarang yang tahu beza, canggung, cangkung dan cagu? Ini belum kira orang yang makan pucuk gajus dengan sos salad ‘thousand island’. Harap-harapnya tiada.

Wayang kulit diganti dengan GSC dan TGV. Sawah bendang diganti dengan kelapa sawit asli Brazil. Jadi apa yang tinggal dengan anak Melayu? Dimana melayunya? Melayu berada dimasa lalu, dalam kenangan ayah dan datuk ketika ‘budaya barat’ merobos masuk ke tanah ini. Ketika sopan santun menjadi etika paling tinggi dalam bersilaturahmi. Ketika pantun menjadi pelembut kata.
Izinkan saya jelaskan, saya tidak menentang ‘budaya barat’ kerana pada pendapat saya, fahaman popular tentang ‘budaya barat’ adalah salah. Filem-filem barat misalnya, bukan budaya tapi komoditi ekspot yang menghasilkan wang. Kita yang salah pilih. Budaya barat yang menyegarkan bangsa seperti perdebatan idea, demokrasi, tidak pula mahu kita sadur. Kita yang salah pilih.
Kembali kepada tertib kehidupan melayu sekarang, sebenarnya melayunya bangsa melayu sekarang pada tahap paling nipis, bila mana melayu kita cuma tinggal pada rupa dan bahasa. Ini pun ada segelintir yang mahu warnakan rambut jadi merah dan lebih selesa berbahasa Inggeris untuk lebih dilihat kurang melayunya.
Malah, paling kronik, nama orang melayu pun sudah hilang melayunya. Pada satu hujung, wujud golongan yang mengeksperimen anak-anak mereka dengan nama yang kononnya merapat barat; Damia, Sue, Danny contoh, sedangkan pada satu hujung lain, ada yang sanggup bersusah payah menggali kamus bahasa Arab untuk mencari nama anak lebih unik. Fenomena ini boleh difahami dengan rasional, tapi hasil langsungnya, orang Melayu sudah hilang Melayunya, bahkan pada nama.
Apa yang saya bentangkan ini, bukanlah untuk menghina bangsa melayu masakini, apatah lagi meniup semboyan ultra melayu mirip seruan Hitler kepada kaum Aryan. Saya cuma ingin mengajak rakan-rakan menilai semula hubungan ketertiban Melayu dengan kehidupan kita kini. Pertamanya kita risau jika ini ditinggalkan, dan dilupakan terus, Melayu hanya tinggal sebagai nolstalgia yang dilagukan cuma buat pelancong-pelancong yang membayar wang. Cuma tinggal yang itu.
Hakikatnya, melayu cuma dihidupkan kini atas esen kenangan; ketika menyambut aidilfitri, ketika menyambut anak baru lahir atau untuk mengembalikan memori ketika masih duduk di kampung. Atas kenangan inilah, pada pendapat saya; yang mengikat kumpulan orang yang menggelarkan diri mereka sebagai orang Melayu pada tahun 2011 dan kedepan. Malangnya kenangan dan nostalgia ini takkan berkekal lama kerana generasi ini akan berlalu generasi baru akan mempunyai nostalgia baru pula. Pada masa itu, apa yang tinggal pada melayu, agaknya?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: